Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelar tindakan pihak tertentu yang selalu mempertikaikan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di negara ini dengan menyifatkan mereka sebagai orang yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih.
Ini kerana tegasnya, orang Melayu ternyata terlalu bermurah hati apabila sanggup menerima 'orang asing' sebagai sebahagian daripada rakyat negara ini dan sanggup untuk berkongsi kuasa dalam mentadbir negara.
Malah katanya, hak dan kepentingan mereka juga selama ini dijaga dan terjamin sehingga membolehkan mereka bebas untuk mengamalkan budaya serta bahasa sendiri.
"Tidak ada bangsa lain seperti orang Melayu yang terlalu bermurah hati. Kita beri ruang untuk bersama dengan mereka sehingga sanggup menukar nama Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia.
"Namun, mereka meminta lebih daripada itu sehingga hak-hak dan peruntukan untuk orang Melayu juga dipertikaikan. Bila kita sebut pasal ini mereka menuduh kita rasis, tetapi apabila mereka meminta sesuatu untuk mereka tidak pula dilihat rasis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Transformasi Ekonomi dan Pendidikan Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Permatang Pauh di sini hari ini.
Yang turut hadir isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Yang Dipertua Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Yang Dipertua Perkasa Pulau Pinang, Yusof Suhaimi Mohd. Yatim.
Selain itu, dalam ucaptama tersebut Dr. Mahathir turut mengingatkan orang Melayu supaya tidak terlalu mengikut emosi dalam membuat sebarang keputusan terutama dalam memilih pemimpin negara.
"Emosi sememangnya baik tetapi harus didukung oleh akal fikiran supaya tidak menjadikan kita sebagai golongan yang mudah terpengaruh dan membuatkan kita menjadi taksub kepada pemimpin.
"Sebab itu dalam membuat keputusan kita harus berhati-hati apabila cuba membenarkan diri untuk dipengaruhi agar tidak terjerat," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menafikan dakwaan kononnya pemberian taraf kewarganegaraan kepada kira-kira 200,000 orang di Sabah mempunyai motif politik.
Katanya, pemberian itu jelas dibuat mengikut lunas undang-undang dan mereka yang diberi taraf itu juga memenuhi syarat yang ditetapkan.
"Mereka telah tinggal di Sabah lebih daripada 20 tahun dan mengamalkan cara hidup Melayu, jadi kalau mahu isu ini disiasat, kita juga perlu menyiasat berhubung pemberian taraf kewarganegaraan kepada sejuta orang yang diberikan pada zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dahulu.
"Barulah adil, kita siasat yang ini dan kita siasat juga yang dahulu," tegasnya.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment