Sunday, November 25, 2012

UMNO MUNGKIN TEWAS


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan bahawa Umno mungkin tewas sekiranya jentera peringkat bahagian masih belum bergerak aktif kerana menunggu calon diumumkan.

Dalam satu wawancara disiarkan Utusan Malaysia hari ini, Mahathir berkata jentera berkenaan sepatutnya sudah digerakkan walau pilihan raya umum mungkin akan diadakan dalam tempoh enam bulan lagi.

"Saya dapati hanya Najib nampak aktif, di peringkat bahagian mereka masih tunggu siapa yang bakal jadi calon sebelum mereka mahu bergerak (untuk pilihan raya). Sifat macam ini kalau berleluasa mungkin kita akan kalah. 

"Sepatutnya mereka aktif dari sekarang. Tidak perlu peduli siapa nak jadi calon. Kita nak bagi parti menang," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Mahathir berkata demikian apabila ditanya sama ada Umno sudahpun melakukan persediaan mencukupi memandangkan persidangan Umno yang bermula esok merupakan persidangan terakhir sebelum pilihan raya.

Tambahnya, Umno masih lagi mengalami masalah memandangkan ahli parti menurutnya hanya mahu individu tertentu dipilih sebagai calon pilihan raya.

"Masalah Umno ialah mereka mahu si polan si polan yang jadi calon. Kalau tak dapat orang dia, biar kalah pun tak apa. 

"Tapi kalau orang itu menang tetapi parti kalah, akhirnya tidak boleh wujudkan kerajaan. Perkara mudah begini pun takkan mereka tak faham," kata Mahathir. 

Sementara itu, ditanya sama ada sayap Umno sudah menjalankan perubahan yang diharapkan, beliau berkata, ia masih belum memuaskan. 

Beliau juga melihat, Pemuda Umno tidak begitu aktif berbanding Wanita dan Puteri yang dilihatnya lebih bersemangat. 

Selain itu, dalam wawancara itu juga, Mahathir turut menyatakan sokongannya terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan kesediaan untuk berkempen untuk parti jika dibenarkan. 

Katanya, dengan berkempen, ia merupakan masa unyuk membayar balik melalui parti selepas beliau dipilih menjadi presiden parti seterusnya perdana menteri. 

"Kali ini jika Najib tidak membantah, saya akan terus berkempen. Ini adalah masa untuk saya membayar balik kerana melalui parti inilah saya berupaya menang dan kemudian dipilih sebagai presiden dan kemudian perdana menteri. 

"Sudah sampai masa untuk saya membalas balik jasa kepada parti," katanya. 

Dalam pada itu, Mahathir turut meramalkan bahawa BN akan memenangi semula negeri yang telah tewas pada pilihan raya umum ke-12. 

Bagaimanapun katanya, kemenangan itu juga terpulang kepada Umno itu sendiri. 

"Saya fikir terdapat kemungkinan besar tiga negeri ini iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Selangor mampu dimenangi semula. Malah ada kemungkinan yang kuat- kita mampu menawan semula Pulau Pinang dan Kelantan. 

"Namun itu semua terpulang kepada Umno itu sendiri," katanya sambil menambah, sabotaj dalaman merupakan faktor utama yang menyebabkan kekalahan Umno.


SUMBER :

http://www.malaysiakini.com


No comments:

Post a Comment