Thursday, October 18, 2012
Melayu sudah lama berpecah
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, tindakannya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti pada 1998 bukan penyebab bermulanya perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Sebaliknya, jelas beliau, orang Melayu di negara ini sudah lama berpecah termasuk ketika penubuhan Malayan Union yang mana pelbagai konflik tercetus termasuk wujud golongan ulama daripada UMNO yang mengambil keputusan menubuhkan parti Pas.
Selain itu, jelas Dr. Mahathir, tindakan Tengku Razaleigh Hamzah yang menubuhkan parti serpihan UMNO iaitu Semangat 46 turut membuktikan telah berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu ketika itu.
"Jadi, mahu kata kerana saya pecat Anwar (penyebab mula berlaku perpecahan orang Melayu) tidak benarlah. Kita tidak boleh menerima orang seperti ini (Anwar) menjadi Perdana Menteri. Sebab beliau ada karakter yang tidak boleh menjadi seorang Perdana Menteri.
"Kita tidak boleh terima manusia yang moralnya terlalu rendah untuk menjadi seorang pemimpin, kita malu dengan pemimpin seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta dalam sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama sempena Seminar Pemantapan Profesionalisme, Transformasi, Budaya Kerja dan Pemikiran Pegawai Tadbir di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Seminar itu diadakan sempena program Peningkatan Kerjaya dan Sukan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada masa sama, Dr. Mahathir dengan sinis turut menyifatkan Anwar seorang yang cekap berpidato dan mampu memesongkan pemikiran rakyat terutama mereka yang taksub dengannya.
Terdahulu, dalam ucaptamanya, Dr. Mahathir mengingatkan para pegawai dan pentadbir meningkatkan tahap penguasaan ilmu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang telah, sedang dan akan berlaku.
Katanya, golongan itu juga perlu menjalinkan hubungan lebih akrab dengan masyarakat selain melengkapkan diri dengan ilmu ekonomi dan kewangan dalam memastikan dapat menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat dengan lebih cekap.
sumber : UTUSAN
No comments:
Post a Comment