Wednesday, October 10, 2012
Dr M: Amalkan Dasar Pandang ke Timur secara berpilih
Tiga puluh tahun selepas memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru agar dasar itu dinilai semula dengan mengguna pakai nilai-nilai tertentu sahaja yang mampu memacu ekonomi negara untuk tumbuh dengan lebih pesat.
"Jika kita mahu pastikan negara terus maju ke hadapan kita perlu guna pakai beberapa nilai orang lain.
"Di antara nilai orang lain yang kita perlu guna pakai adalah nilai orang-orang Jepun tetapi kali ini dengan lebih memilih," katanya sewaktu berucap pada makan malam Persidangan Pandang ke Timur: Satu Dimensi Baru di Kuala Lumpur petang tadi.
Memberikan perincian, Mahathir menyeru agar sikap malu terhadap
pencapaian sederhana dalam hidup orang Jepun yang mendorong mereka berusaha keras untuk berjaya dalam hidup dijadikan teladan.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan hadirin agar menghindari
konsep 'harakiri' (bunuh diri terhormat) yang juga sinonim dengan
masayarakat Jepun.
Persidangan itu diadakan untuk menyambut ulang tahun ke-30 Dasar pandang ke Timur yang diperkenalkan Dr Mahathir pada 8 Februari 1982 sewaktu beliau memegang jawatan perdana menteri Malaysia.
Saran universiti Jepun
Dalam ucapan sama, beliau turut menyarankan agar sebuah universiti Jepun didirikan di Malaysia kerana sistem pendidikan negara itu terbukti menghasilkan graduan yang lebih berdisiplin berbanding
graduan universiti dari Barat.
"Ia agak mahal untuk kita hantar pelajar ke Jepun jadi saya sudah pujuk duta mereka di sini agar membuka universiti Jepun di sini," katanya.
Beliau turut sempat berkongsi pengalamannya menjelaskan dasar Bumiputera kepada pelabur Jepun yang kurang jelas tentang dasar itu.
Menceritakan kembali penjelasannya, beliau menyatakan dasar bumiputera melonjakkan ekonomi negara dengan pesat sewaktu ia mula diperkenalkan dan mengekalkan keharmonian antara kaum apabila ia merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat berbilang agama, budaya, dan bangsa.
"Sewaktu kita melaksanakan dasar bumiputera ini, negara tumbuh dengan lebih pesat berbanding negara membangun, dan sesetengah negara maju yang lain.
"Sesiapa sahaja boleh periksa (dan sahkan) perkara ini," katanya.
sumber : Malaysiakini
No comments:
Post a Comment