Sunday, September 23, 2012
Mahathir: Pemimpin guna hudud untuk dilihat Islamik
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir berkata terdapat kalangan pemimpin Islam yang cenderung untuk mengguna hukuman paling berat termasuklah hudud agar mereka kelihatan lebih Islamik.
Tanpa menyebut golongan yang dimaksudkannya, beliau berkata langkah itu tidak mungkin sesuatu yang benar kerana menurutnya Islam lebih menekankan keadilan berbanding hukuman berat.
"Di Malaysia ada debat tentang hukum hudud dan kecenderungannya adalah mengenakan hukuman paling berat sebagai tanda kita lebih Islamik berbanding orang lain.
"Tetapi kita lebih gemar kepada hukuman berbanding keadilan. Dan hukuman yang kita suka jatuhkan biasanya yang paling berat yang tidak dijumpai dalam al-Quran," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Runding Cara Peringkat Tinggi Pakar tentang Islam dan Kesihatan Wanita di Kuala Lumpur pagi ini.
afsiran ketepi al-Quran
Tambahnya lagi, golongan berkenaan juga tidak mengambil kira hakikat bahawa komuniti Islam wujud bersama dengan komuniti bukan Islam.
Kumpulan tersebut tidak mengambil kira perubahan semasa dalam mengeluarkan pandangan, katanya.
"Mereka berikan kita idea yg sukar untuk kita selarikan dengan idea dari sumber lain," katanya.
Perkara itu, katanya lagi berpunca daripada tafsiran Islam yang mengenepikan al-Quran sebagai rujukan utama dan melebih-lebihkan sumber lain.
"Saya percaya masalah ini datang daripada pelbagai tafsiran Islam.
"Saya dapati kita kurang mempercayai perkara yang yang terkandung dalam Quran tetapi lebih (percaya) apa yang diajarkan kepada kita dalam sunnah dan hadis - yang sebenarnya tidak wajib.
"Kita cenderung jadikan perkara yang tidak wajib itu (sebagai) wajib.
"Kerana kita buat begini, kita cipta masalah kepada kita dan orang
lain," katanya.
Justeru, beliau menggesa agar mereka yang tidak bersetuju dengan perkara itu agar menentang idea berkenaan dengan hujah agama dan bukannya menggunakan hujah dan nilai-nilai Barat.
"Ia amat penting untuk orang Islam yang tidak mengkhusus dalam agama agar mengetahui agama mereka supaya mereka boleh berhujah dengan golongan konservatif berdasarkan agama, dan bukannya berdasarkan sistem nilai yang lain," katanya.
sumber : MALAYSIAKINI
No comments:
Post a Comment