Friday, August 10, 2012
500,000 botol air minuman untuk penduduk Gaza
Yayasan Keamanan Dunia Perdana (PGPF) menunaikan komitmennya membantu masyarakat di Gaza, Palestin dengan menyalurkan sumbangan 500,000 botol 1.5 liter air bersih.
Mendapatkan bekalan air merupakan antara masalah utama yang dihadapi penduduk Gaza ekoran dikepung rejim Zionis dan dilaporkan mereka hanya mendapat bekalan air selama empat hingga enam jam bagi tempoh tiga hari.
Majlis simbolik penyampaian sumbangan tersebut diadakan hari ini dengan PGPF diwakili Presidennya yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Imam Utama Masjid Gaza, Sheikh Omar M.A. Fora didatangkan khas bagi mewakili penduduk Gaza.
Menurut Dr. Mahathir, bekalan 500,000 botol air bersih itu merupakan bantuan fasa pertama dan pihaknya menyasarkan sebanyak 1.5 juta botol air dapat disampaikan kepada penduduk Gaza secara keseluruhannya.
"Bersempena Ramadan yang mana rakyat di Malaysia tidak ambil kisah dengan rahmat berbuka puasa dengan air sirap, longan dan bermacam lagi jenis air, ingatan dan simpati kita adalah tetap kepada saudara kita di Gaza menerusi bantuan ini," katanya.
Jelas beliau, dana bagi membeli air bersih di Gaza itu adalah hasil kutipan 'Wakaf Air Untuk Gaza' yang dilancarkan PGPF sejak Oktober 2010 dan mendapat sokongan masyarakat umum Malaysia, syarikat-syarikat korporat serta agensi-agensi kerajaan.
Sementara itu, berhubung masalah penindasan etnik Rohingya Islam di Myanmar, Dr. Mahathir berkata, negara-negara Islam di seluruh dunia perlu bersatu dalam memberi tekanan terhadap negara tersebut.
"Malaysia sahaja tidak mungkin berjaya tetapi kalau datang umat Islam seluruh dunia, saya yakin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengambil tindakan menyelamatkan orang Rohingya.
"Sebenarnya etnik Rohingya adalah warga Myanmar, namun masalah timbul kerana kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf mereka. Saya berharap Myanmar yang sekarang ini berbangga dengan demokrasinya akan bertimbang rasa terhadap nasib buruk yang menimpa orang Rohingya," ujarnya.
Kata Dr. Mahathir, beliau telah mengutus surat kepada Aung San Suu Kyi lima hari lalu bagi meminta ikon demokrasi dari Myanmar itu untuk campur tangan menyelamatkan nasib etnik Rohingya.
"Saya fikir dia mempunyai pengaruh, saya berharap dia akan menyatakan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment