Saturday, July 7, 2012
Dilema Melayu hari ini
TUN Dr. Mahathir Mohamad memang cukup dikenali dengan sifat punctual iaitu menepati masanya.
Sesiapa yang pernah berurusan apatah lagi bekerja dengannya termasuk wakil media cukup arif dengan disiplin beliau itu.
Mungkin sebab itu, apabila menyedari temujanjinya dengan kami daripada Mingguan Malaysia, ZIN MAHMUD, MARHAINI KAMARUDDIN dan HAFIZAHRIL HAMID bersama jurugambar SAIFUL BAHARI ASHAARI pada Rabu lalu sudah terlewat beberapa minit, Dr. Mahathir pantas mendaki tangga curam Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, sebaik sahaja selesai komitmen sebelumnya.
Mencecah usia 87 tahun pada 10 Julai ini, stamina dan kecergasan Dr. Mahathir cukup dikagumi.
Jika beliau tidak melakukan aktiviti menunggang kuda yang menjadi kegemarannya, bukan sebab faktor usia atau kesihatan tetapi kerana kesibukannya walaupun tidak lagi bergelar Perdana Menteri.
“Saya sekarang bekerja tujuh hari seminggu," katanya. Namun beliau bukan mengeluh. Hakikatnya beliau tidak jemu menyumbang jasa, pandangan dan idea. Sebab itu jugalah banyak pihak termasuk media tidak jemu-jemu mendekati beliau bagi berkongsi pandangan kritisnya. Ketajaman fikiran serta kepekaannya terhadap isu-isu semasa dalam dan luar negara, tidak perlu dinafikan sama sekali.
Dalam ribuan buku pelbagai genre yang dibacanya, beliau mengakui masih membaca novel antaranya oleh Ken Follett dan Wilbur Smith yang menjadi amalan sejak remaja.
Dalam wawancara kali ini, Dr. Mahathir seperti yang cukup kita kenali, tidak takut bercakap soal Melayu, selamba menegur pihak yang membuat tuntutan keterlaluan dan tanpa berselindung menyentuh tentang campur tangan kuasa asing dalam menentukan regime change. Beliau juga secara panjang lebar menjelaskan dalam bahasa mudah tentang krisis ekonomi Eropah.
MINGGUAN: Tun telah selesai mengeluarkan memoir, tetapi apakah Tun berpandangan buku tulisan Tun, Dilema Melayu perlu ditulis semula atau dilakukan pembaharuan?
TUN DR. MAHATHIR: Kita sekarang sudah sampai ke satu tahap di mana nak sebut Melayu pun sudah menjadi kesalahan. Kalau kita sebut Melayu akan ada pihak mengatakan kita perkauman. Jadi kita tidak boleh pertahan diri kita. Inilah dilema yang paling besar dihadapi oleh orang Melayu ketika ini.
Kalau dahulu kita boleh bercakap mengenai masalah orang Melayu dan bagaimana nak mengatasinya dan saya boleh tulis mengenai perkara ini. Orang pun tidak akan kata saya rasis. Tetapi sekarang ini jika saya cakap Melayu sahaja orang akan kata saya rasis. Sebaliknya jika mereka bercakap mengenai kaum mereka, itu tidak pula dianggap perkauman. Saya berpendapat bahawa kita sudah kaku dan tidak boleh menjawab balik kerana takut dituduh rasis. Sampaikan tuntutan dibuat yang melanggar perjanjian kita dahulu tetapi kita tidak jawab. Bila tak jawab maka mereka akan membuat lebih banyak lagi tuntutan. Jika dahulu untuk masuk kerja kerajaan diploma hanya melibatkan universiti awam tetapi sekarang ini diploma daripada Kolej Tunku Abdul Rahman, kita kena terima. Ini semua kerana kita mahu undi. Semua perkara yang berlaku ini adalah kerana kebodohan orang Melayu kerana kita tentukan perkara ini semasa kemerdekaan supaya orang Melayu boleh menjadi majoriti. Bila majoriti dalam sebuah negara maka mereka akan berkuasa. Namun kini sebaliknya mereka sendiri yang menghancurkan majoriti mereka dengan berpecah belah. Kini berpecah lebih daripada tiga kelompok dan dengan itu untuk menang maka mereka memerlukan sokongan kaum lain.
Sekarang ini dalam keadaan berpecah belah maka apa yang orang lain minta kena bagilah kerana nakkan undi. Parti lawan juga ikut sama berjanji macam-macam. Maka semua orang berlumba-lumba nak berjanji. Sebenarnya mereka (pembangkang) nak bagi negara ini dan akhirnya akan menjadi seperti Singapura. Kalau di Singapura tak apalah sebab orang Melayu adalah minoriti tetapi di negara ini orang Melayu adalah majoriti tetapi berpecah belah kerana apa? Sebabnya ada orang nak jadi Perdana Menteri. Ini adalah tabiat orang Melayu lama yang mana bila ada orang tawar duit, dia akan jual negerinya seperti di Pulau Pinang, Singapura dan beberapa lagi. Maka jadilah apa yang dikata orang ‘sejarah berulang dengan sendirinya’. Orang Melayu bukan tidak tahu sejarah ini dan tahu perkara ini salah tetapi kerana tamak nak jadi Perdana Menteri, maka dia sanggup membiarkan orang Melayu lingkup malah menghapuskan orang Melayu pun tidak mengapa. Asalkan dia dapat menjadi Perdana Menteri. Kita tengok sendiri Anwar bagaimana dia mahu menghapuskan DEB dan sebagainya. Ini dilakukan kerana nak dapatkan undi orang Cina.
SUMBER : UTUSAN
No comments:
Post a Comment