Thursday, January 26, 2012
Alih pasaran ke Asia langkah tepat
Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan orang ramai pada Program Bicara Bersama Tokoh di Sekolah Menengah Keat Hwa, Alor Setar
Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan kerajaan mengalihkan pasaran ekonomi dari Eropah ke negara Asia terutama China dan Taiwan sejak kebelakangan ini merupakan satu langkah yang tepat.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, langkah tersebut sedikit sebanyak mampu mengelak negara daripada turut terjerumus ke dalam krisis ekonomi teruk negara Eropah ketika ini yang disifatkannya sukar untuk pulih.
“Kalau berdagang dengan Eropah dan dia tidak ada duit mahu beli barang kita, maka kita tidak boleh mendapat keuntungan.
“Namun, saya melihat kerajaan berusaha untuk mencari pasaran lain dan sekarang terdapat pasaran baik di China, Taiwan dan negara ASEAN lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Program Bicara Bersama Tokoh bertemakan Cabaran, Peluang dan Peranan Koperasi dan Korporat Ke Arah Mencapai Wawasan 2020 di Sekolah Menengah Keat Hwa di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.
Dr. Mahathir mengulas tentang laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) hari ini bahawa krisis hutang awam Eropah dikhuatiri semakin mengancam ekonomi global.
Tambah beliau, kerajaan perlu lebih agresif mencari lebih banyak pasaran lain di negara Asia ekoran kelembapan ekonomi di Eropah yang memakan masa untuk dipulihkan.
“Semua pihak termasuk rakyat juga perlu memainkan peranan bagi meningkatkan produktiviti, kuat bekerja dan kurangkan bercuti.
“Kalau tidak berjaga-jaga, cuma minta gaji lebih, keluaran tidak meningkat dan kita akan menjadi macam orang Eropah,” katanya.
sumber : UTUSAN
No comments:
Post a Comment