Saturday, December 17, 2011

Perbezaan fahaman politik punca umat Islam berpecah

Perbezaan fahaman politik di negara ini menyebabkan umat Islam dikatakan berpecah belah dan bukan kerana agama, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini kini berpecah kepada tiga puak dan telah “berperang” sesama sendiri walaupun tidak menggunakan senjata seperti di beberapa negara Islam yang lain.

“Umat Islam di Malaysia berpecah bukan dari segi agama tetapi dari segi fahaman politik yang mempengaruhi ahli-ahlinya,” kata beliau.

“Semata-mata untuk menjayakan fahaman politik mereka, umat Islam di negara ini tidak sanggup solat di masjid yang sama dan mempunyai tanah perkuburan yang berbeza, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Multaqa Wehdatul Ummah ke tiga di sini hari ini.

“Kalau kita sedar, ajaran agama Islam ini adalah persaudaraan dan kita harus memupuk sikap perpaduan lagi-lagi dalam satu agama yang sama,” kata Dr Mahathir.

"Umat Islam perlu bersatu padu dan tidak berpecah belah serta bermusuh-musuhan sesama sendiri kerana perpaduan itu adalah asas hidup masyarakat Islam,” katanya yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

sumber – BERNAMA

No comments:

Post a Comment