Thursday, October 27, 2011
Usahawan wanita perlu berani ubah minda untuk berjaya
Usahawan wanita perlu berani ubah minda untuk berjaya
DR. Mahathir Mohamad meluangkan masa membacakan buku cerita dalam bahasa Inggeris kepada sebahagian kanak-kanak sempena Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan Pertama di Melaka, semalam.
MELAKA 26 Okt. - Usahawan wanita terutamanya yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) perlu berani melakukan perubahan dari segi cara berfikir sekiranya ingin melihat produk yang dihasilkan mendapat pasaran di peringkat global.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usahawan wanita kini berdepan dengan cabaran globalisasi yang semakin kompleks yang memerlukan golongan itu melakukan perubahan minda.
"Usahawan wanita kini perlu lebih berani dan berfikiran terbuka serta perlu melihat negara maju yang lain sekiranya mereka ingin berjaya dan tidak hanya bertumpu di kampung sendiri sahaja.
"Paling penting, memperkasakan usahawan wanita supaya berpandangan jauh dan mempunyai cita-cita untuk meneroka dan menemui pasaran baru di peringkat global," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk, Perubahan Minda di Kalangan Usahawan Wanita IKS dalam Menghadapi Era Globalisasi sempena Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan Pertama (1WBC) 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Presiden Usahanita Malaysia, Faridah A. Jabbar.
Dr. Mahathir berkata, selain perubahan minda, usahawan wanita tempatan juga perlu mengaplikasikan kemudahan teknologi seperti Internet yang menjadi medium berkesan dalam mempromosikan produk ke seluruh dunia.
"Pada masa ini, apa yang paling penting dalam menjalankan perniagaan adalah berfikir, berkomunikasi dan bergerak dengan pantas ke mana sahaja dan penggunaan Internet adalah cara paling berkesan," katanya.
Melalui internet, kata Dr.Mahathir, usahawan wanita dapat mengiklankan dan mempromosikan produk mereka jauh lebih murah dan dapat dicapai oleh seluruh penduduk dunia berbanding dengan menggunakan media cetak dan elektronik yang jauh lebih mahal.
Dr. Mahathir berkata, aktiviti perniagaan kini banyak dilakukan secara dalam talian dan digemari pembeli kerana ia menjimatkan masa.
Jesteru, katanya, usahawan perlu merebut peluang itu dengan memperluaskan penggunaan Internet dengan turut menyediakan perkhidmatan pembayaran melalui kad kredit dan khidmat penghantaran yang selamat kepada pembeli dalam tempoh yang singkat.
Selain itu, katanya, penggunaan teknologi moden dalam menghasilkan produk yang diusahakan juga perlu bagi meningkatkan serta mempercepatkan proses pengeluaran yang menjadi aspek penting untuk berjaya dalam bidang perniagaan.
Beliau berkata, bagi menghadapi era globalisasi, usahawan perlu melangkah ke hadapan dengan meningkatkan jumlah pengeluaran produk dan tidak lagi mengeluarkan produk pada skala kecil selain memperbaiki kualiti dan pembungkusan bagi menarik minat pengguna.
"Usahawan perlu meningkatkan kualiti dari segi rasa, bentuk, pembungkusan dan saiznya supaya dapat bersaing dengan ratusan produk lain yang berada di pasaran.
"Dengan cara ini, produk kampung seperti keropok lekor juga boleh dikembangkan pasarannya ke peringkat antarabangsa," katanya.
sumber :Utusan
No comments:
Post a Comment