Wednesday, October 12, 2011
Rakyat Malaysia diminta cabar kebolehan diri
Dr. Mahathir Mohamad mendengar sesuatu diperkatakan Suwaibah Muhammad Nasir sambil diperhatikan Sheikh Ahmad Dusuki di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
PUTRAJAYA 12 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu lebih ramai rakyat negara ini mencabar diri dengan melakukan sesuatu yang baharu kerana ia mampu menguji kebolehan diri mereka.
Menurutnya, aktiviti itu bukan tertakluk dalam bidang sukan sahaja, tetapi juga bidang-bidang lain yang mampu mencetuskan budaya baharu buat rakyat negara ini.
"Kalau seseorang itu sanggup hadapi cabaran, dia akan buat persediaan untuk menghadapi cabaran tersebut. Kalau kita ada sikap sebegitu atau kesanggupan seperti itu maka rakyat negara ini tetap akan berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan peserta Misi Larian Sahara, Suwaibah Muhammad Nasir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Kumpulan Utusan merupakan antara penaja bagi program itu.
Dr. Mahathir berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk Suwaibah merentas padang pasir, tetapi dengan semangat Malaysia Boleh bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu sanggup mencabar diri bagi tujuan itu.
Larian Sahara melibatkan perjalanan sejauh 1,111 kilometer akan dilakukan secara solo oleh wanita berusia 38 tahun yang berasal dari Kelantan itu.
Larian yang dijangka mengambil masa 35 hari akan bermula dari Aswan ke Luxor sejauh 179 kilometer, Luxor-Sohag- Assyut (221 kilometer), Assyut-Al-Minya-Giza-Kaherah (318 kilometer) dan Kaherah ke Suez sejauh 125 kilometer.
Seterusnya laluan mencabar menanti Suwaibah dari Suez ke Port Said sejauh 146 kilometer sebelum menamatkan misinya di laluan Port Said-Rafaj sejauh 122 kilometer.
Dr. Mahathir turut menyeru orang ramai agar menghulurkan bantuan untuk menjayakan misi larian yang memerlukan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM1 juta.
"Bantuan kewangan daripada penderma yang bermurah hati amat diperlukan untuk tujuan ini dan mereka akan diberikan hadiah istimewa iaitu dinar emas," katanya.
Sementara itu Pengurus Larian Sahara, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, mereka yang menderma sebanyak RM1,500 akan menerima dinar emas bernilai RM800 dan ini bermakna mereka menyumbang sebanyak RM700 untuk larian tersebut.
"Sebahagian daripada sumbangan ini akan digunakan untuk membantu penduduk Palestin di Gaza manakala selebihnya akan didermakan kepada Tabung Bantuan Pulih Wajah Nurul Dahyatul Fazlinda-YPU, Persatuan Kanser Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang," tambahnya.
sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment