Thursday, October 21, 2010
Jambatan Bengkok
Oleh YBhg Tun Dr. Mahathir Mohamad
Saya menulis surat terbuka ini sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk sesiapa saja yang ingin membacanya.
Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya yang disiarkan, sama ada oleh media massa elektronik atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk menghadiri sidang akhbar saya.
Mengenai isu di atas, saya telah menyatakan pandangan saya iaitu Kerajaan Malaysia telah gagal mempertahankan kedaulatan negara. Akibat daripada itu negara mengalami kerugian berbilion ringgit. Wang ini adalah wang rakyat.
Saya juga mahu rakyat faham sikap dan tindak-tanduk Kerajaan Singapura serta dakwaan Kerajaan Malaysia yang ia memberhentikan pembinaan jambatan itu kerana isu undang-undang dan kerana sentimen rakyat yang tidak sanggup menyerahkan ruang udara serta penjualan pasir kepada Singapura, dan ini disalahertikan secara sengaja bahawa rakyat tidak mahu jambatan. Rakyat mahu jambatan tetapi menolak syarat Singapura, kerana ia tidak berasas dan bukan hak Singapura.
Singapura sangat gemar mencetak surat-menyurat antara pemimpinnya dengan pemimpin Malaysia dengan tujuan membuktikan yang ia di pihak yang benar.
Kerajaan Malaysia sekarang percaya bahawa dengan tidak menyanggah kempen memutarbelitkan oleh Singapura, masalah yang dihadapi akan selesai dengan sendirinya. Tetapi ini angan-angan yang tidak akan jadi kenyataan.
Di dalam amalan diplomatik, surat-surat yang ditulis oleh suatu pihak dengan memetik persetujuan-persetujuan lisan yang kononnya dicapai di dalam rundingan tidak rasmi di kalangan pemimpin, adalah tidak sah.
Untuk menjadikan ianya sah, rundingan hendaklah dicatat dan dirakam dengan sempurna, disahkan dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak. Kenyataan yang dibuat di dalam sidang akhbar oleh salah satu pihak tanpa pengesahan pihak satu lagi juga adalah tidak sah.
Encik Lee Kuan Yew, ketika dia menjadi Menteri Kanan Singapura, sangat gemar meminta diadakan pertemuan empat mata tanpa agenda yang sempurna dan kemudian merakamkan hasil pertemuan itu di dalam suratnya sendiri kepada pihak ketiga. (sila lihat Apendiks 1)
Berdasarkan surat-surat itu juga, dia harap rakan sejawatnya akan menyetujui kandungannya dan oleh yang demikian terikat dengan kandungan surat-surat itu. Dia tidak mengambil kira jika catatannya tidak dianggap tepat dan tidak disahkan.
Saya menganggap apa-apa pun yang tidak menepati amalan diplomatik sebagai tidak sah. Tanggapan beliau adalah tanggapan beliau sahaja, tidak Iebih dan tidak kurang. Tindakannya mencetak surat-suratnya sebagai bukti bahawa saya telah bersetuju tidak bermakna sama sekali. Hanya jika saya membalas surat itu dan mengesahkan perkara-perkara tertentu, barulah perkara-perkara berkenaan boleh dianggap benar. Tetapi sama ada ia sah dan kita terikat dengannya, bergantung pada pengesahan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, secara rasmi.
Berdolak-dalik mengenai apa yang disebut “pakej” dan ketidakmampuan mencapai sebarang persetujuan adalah kerana kelulusan yang berasaskan “pakej” tidak praktikal. Jika persetujuan tidak boleh dicapai mengenai mana-mana satu perkara maka persetujuan tidak boleh dicapai bagi semua perkara dalam pakej itu.
Atas sebab inilah yang saya mencadangkan dan Encik Goh Chok Tong bersetuju iaitu kita menyelesaikan perkara demi perkara secara berasingan. Ini siperakukan dan diterima oleh Encik Goh Chok Tong selaku Perdana Menteri melalui surat bertarikh Oktober 14 2002 (sila lihat Apendiks 2) yang antara lain menyebut;
“Pada penghujung pertemuan (di Hanoi) anda berkata kita perlu mencuba menyelesaikan isu air, lagi cepat lagi baik. Saya bersetuju....”
Tetapi di dalam surat yang sama, Encik Goh Chok Tong berkata;
“Oleh yang demikian, saya tidak menjangka menerima surat anda bertarikh 7hb Oktober pada l0hb Oktober di mana anda menyatakan “Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendekatan pakej……”
JAMBATAN
Setelah menolak pendekatan pakej, saya membuat jangkaan yang isu pembinaan jambatan tidak akan dikaitkan dengan sebarang isu lain. Saya menaruh harapan yang sangat tinggi apabila isu pembinaan jambatan disebutkan di dalam surat-surat Menteri Kanan Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Goh Chok Tong.
Dalam sepucuk surat (sila rujuk Apendiks I perenggan 6) kepada Tun Daim Zainuddin, Lee berkata;
“Mengenai cadangan Mahathir membina Jambatan Tambak, Perdana Menteri saya (Goh) bersetuju dengannya tetapi mencadangkan agar kita tidak merobohkan Tambak Johor.”
Nampaknya rakyat Singapura lebih menyetujui jika kedua-dua jambatan baru dan Tambak Johor ada. Ini tentulah tidak masuk akal kerana cadangan pembinaan jambatan baru adalah bertujuan membuka laluan di antara kedua-dua belah di Selat Tebrau supaya air boleh mengalir tanpa sekatan. Ia bukan bertujuan menambah kapasiti hubungan antara Singapura dan Johor. Jika ini berlaku, ia hanyalah satu kebetulan.
Satu lagi hujah menarik Encik Lee ialah (sekiranya Singapura bersetuju dengan pembinaan jambatan itu);
“Singapura akan menambak laut di sebelah wilayahnya hingga ke sempadan dengan Malaysia.” (rujuk Apendiks 3, surat Menteri Kanan Lee kepada Dr Mahathir bertarikh Sept 8, 2001)
Sempadan antara Singapura dan Malaysia di Selat Tebrau adalah dasar laut yang paling dalam. Bagaimanapun, bagi Tambak Johor sempadannya adalah di tengah-tengah jambatan. Jika Singapura menambak laut di sebelah wilayahnya sehingga ke sempadan, ia bererti hanya laut di sebelah Malaysia akan kekal. Jadi apa halnya dengan konsep sempadan berasaskan dasar laut paling dalam? Dalam surat yang sama kepada Daim (rujuk Apendiks I perenggan 12), Menteri Kanan Lee berkata;
“Saya sentiasa memaklumkan inisiatif saya kepada Perdana Menteri saya. Dia (Perdana Menteri Goh) bagaimanapun, berkata dia menyerahkan hal ini kepada saya sehingga peringkat akhir apabila dia akan mengkajinya dengan teliti sebelum memberi sebarang persetujuan.”
Menteri Kanan Lee juga menulis (Apendiks 1, perenggan 12); “semua nota atau surat yang saya hantar kepada anda dan kepada Mahathir dan sebaliknya perlulah dianggap sebagai Tanpa Prejudis (Without Prejudice) iaitu tidak akan ada sebarang perjanjian sehingga semua perkara dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.”
Jelas bahawa Menteri Kanan Lee tidak diberi kuasa untuk memutuskan apa-apa kerana beliau perlu memaklumkannya kepada Perdana Menteri Goh untuk dikaji sebelum dipersetujui. Jika tidak, maka tidak akan ada sebarang persetujuan mengenai semua perkara sehinggalah diperakui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.
Dalam jawapan kepada cadangan saya agar terminal Keretapi Tanah Melayu dibina di Johor Baru, Menteri Kanan Lee, melalui surat bertarikh 10 Disember 2001 (sila rujuk Apendiks 4, perenggan 10), berkata;
“Saya harap anda juga akan menimbangkan kepentingan jangka panjang dan nilai perkhidmatan KTM. Sejak tahun 1923 kereta api merupakan perhubungan yang sangat berharga …….. Saya rasa mengekalkan hubungan kereta api antara Kuala Lumpur dan Singapura menguntungkan kedua-dua buah Negara……... Bagaimanapun, oleh sebab KTM milik negara anda, Singapura akan mematuhi keputusan anda”.
Dalam surat ini, Menteri Kanan Lee berikrar mematuhi keputusan saya. Namun beliau boleh juga berkata Perdana Menteri Goh tidak bersetuju dan segala surat-menyurat kami adalah tanpa prejudis.
Namun begitu, apabila beliau atau Perdana Menteri Goh Chok Tong dan saya sendiri menurunkan pandangan-pandangan kami dalam bentuk tulisan, ia menggambarkan apa yang kami fikirkan. Tetapi oleh sebab ia dilakukan tanpa prejudis, kami tidak terikat dengan apa yang kami katakan.
Justeru itu, tidak timbul persoalan berdolak-dalik atau memindahkan tiang gol. Kedudukan tiang gol belum diputuskan. OIeh sebab apa yang dilakukan itu berasaskan konsep tanpa prejudis, maka ia tidak Iebih daripada cadangan sahaja.
Dalam surat bertarikh 11 April 2002 (rujuk Apendiks 5) Perdana Menteri Goh menyebut;
“Saya sekarang memutuskan untuk mengendalikan sendiri perbincangan kita mengenai pakej dua hala.”
Sekarang barulah seorang yang berkuasa bercakap (bagi pihak Singapura).
Di dalam apa yang boleh dianggap sebagai komitmen mutakhir, Perdana Menteri Goh menulis (kepada saya):
1. Bridge
“Di antara sebuah jambatan baru bagi menggantikan keseluruhan Tambak, dan yang menggantikan hanya bahagian di sebelah Malaysia, saya lebih suka kepada pilihan pertama.”
“Sebaik sahaja jambatan baru siap, Tambak bolehlah dirobohkan, yang mana saya gembira jika dilakukan selepas tahun 2007.” “Tetapi sekiranya anda mahu menggantikan Tambak di sebelah negara anda dengan sebuah jambatan dengan serta-merta, saya akan menyetujuinya, walaupun pada pendapat saya ini tidaklah ideal.”
Apakah kesimpulan yang boleh kita buat kepada kenyataan ini? Tidak pun disebut mengenai pasir dari Malaysia dan pembukaan ruang udara kepada kapal terbang tentera Singapura. Juga tidak disebutkan tentang nostalgia, hanya keutamaan supaya Tambak dirobohkan selepas tahun 2007.
Sekarang dihujahkan pula bahawa jika Malaysia sentuh paip yang membawa air ke Singapura, ia adalah tindakan perang (act of war). Adakah ini perisytiharan perang?
Peruntukan “Wayleave Agreement” dengan Singapura cukup jelas. Berikut adalah apa yang dipersetujui mengenai paip air;
“That the Licensee (Singapore) shall take full responsibility financially or otherwise for any alteration to the pipeline that may become necessary by reason of any alterations or improvements made or to be made on the Johor Causeway and on receiving not less than six months previous notice in writing from the Licensors (Malaysia) shall thereupon carry out the alteration in accordance with such notice and shall have no claim for any compensation.”
[“Bahawa Pemegang Lesen (Singapura) akan mengambil sepenuh tanggungjawab kewangan atau sebaliknya bagi sebarang pindaan kepada saluran paip apabila ia diperlukan untuk sebarang pengubahsuaian atau pembaikan atau yang diperlukan di Tambak sebelah negeri Johor dan apabila menerima notis bertulis enam bulan sebelumnya daripada Pelesen (Malaysia) akan melakukan pengubahsuaian itu seperti yang disebutkan di dalam notis tanpa sebarang tuntutan ganti rugi.”]
Perjanjian itu tidak menyebut mengenai hak Pemegang Lesen (Singapura) mengingkarinya. Peruntukan “akan melaksanakan pengubahsuaian” (Shall carry out the alteration) sangat jelas dan kuat. Singapura wajib melaksanakan pengubahsuaian itu. Tetapi jika Singapura ingkar, ia mungkin merupakan tindakan perang dan bukan sebaliknya.
Apabila kerja awal pembinaan jambatan dimulakan tidak ada protes dan tidak ada permintaan membeli pasir atau menggunakan ruang udara kita. Sekarang pembinaan jambatan di sebelah wilayah kita pun nampaknya tertakluk kepada syarat kita membekalkan berjuta meter padu pasir kepada Singapura untuk menambak laut dan membuka ruang udara kita kepada jet tentera udaranya. Daripada mana datang semua syarat ini? Apakah kaitan antara perluasan wilayah Singapura dengan kita membina jambatan di dalam wilayah kita sendiri?
Tindak-tanduk Singapura mengaitkan pembinaan jambatan di wilayah kita dengan tuntutan kita menjual pasir dan membuka ruang udara kepadanya tidak berasas sama sekali.
Mengapa Kerajaan Malaysia perlu bersetuju memberi pasir dan membuka ruang udara kepada Singapura, jika tidak terpaksa memberhentikan pembinaan jambatan bengkok di wilayah kita sendiri adalah di luar kemampuan saya memahaminya.
Adalah hak rakyat Malaysia tidak menjual pasir kepada Singapura atau membuka ruang udara kepadanya. Tetapi rakyat tidak pernah mengatakan yang mereka bersedia mengorbankan projek jambatan. Yang mereka tidak mahu adalah mengalah kepada tuntutan Singapura supaya kita menjual pasir dan membuka ruang udara. Mereka mahukan jambatan tetapi mereka juga mahu Kerajaan mereka menyanggah tuntutan Singapura kerana di segi undang-undang Malaysia tidak perlu melayan syarat-syarat Singapura.
Tindak-tanduk Singapura ini telah dijangkakan. Tetapi Kerajaan Malaysia gagal mempertahankan kedaulatan negara. Di samping itu, ia telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang rakyat jelata.
Biarlah rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu, Melayu Johor terutamanya, ingat bahawa lnggeris telah menipu Sultan untuk menyerahkan Singapura dengan percuma kepada mereka (Inggeris).
Seperti Pulau Pinang, Lumut dan Melaka, Singapura sepatutnya dikembalikan kepada kita apabila lnggeris melepaskan hak mereka. Tetapi Singapura telah menjadi begitu asing keadaannya sehingga ia tidak boleh lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Apakah Malaysia sekarang akan memberi lebih banyak tanah kepada Singapura supaya ia boleh memperluaskan wilayahnya dan menambah bilangan penduduknya? Menyerahkan dasar laut kita kepada Singapura tidak ada bezanya dengan memberikan bumi kita kepada Singapura. Kesudahannya ialah perluasan wilayah Singapura. Ia tidak ada bezanya dengan menyerahkan sebahagian daripada Johor untuk tujuan ini. Apakah kita begitu miskin sehingga kita perlu menjual sekeping bumi kita kepada orang lain?
Generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sama ada Melayu atau Johor, akan menyumpah kita jika kita melakukan semua ini sedangkan kita berhak membina jambatan di atas bumi dan laut kita sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Cukuplah kita menyerahkan Singapura (kepada Inggeris). Tidak perlulah kita menyerahkan lagi tanah kita kepada Singapura walaupun ada orang yang berpendapat kita hanya boleh membina jambatan di negara kita jika Singapura bersetuju.
Rakyat Malaysia tidak pernah mengatakan demikian. Janganlah ada sesiapa yang menyumbat hujah ke dalam mulut mereka semata-mata kerana orang itu takut untuk mempertahankan hak dan kedaulatan negara serta rakyat Malaysia.
Dr. Mahathir bin Mohamad
sumber : http://www.kmu.net.my/
No comments:
Post a Comment