Saturday, November 8, 2014

Dr. Mahathir Mohamad interview w/ Nation [1/2]

Majlis Perasmian UKM DI ANGKASA oleh Tun Dr Mahathir 20 OKT 2014

KERETAPI TANAH MELAYU

Oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad

1. Saya terbaca dalam akhbar bahawa KTM akan membangun landasan untuk mengurangkan kerugian sebanyak RM2.5billion. Kerugian tiap tahun adalah sebanyak RM185 juta. KTM merancang menaikkan tambang untuk mengurang kerugian. Walaubagaimanapun Dato Ahmad Maslan dalam Parlimen berkata KTM akan untung RM31 juta tahun depan. Alhamdullilah.
2. Tiap hari ramai datang berjumpa saya kerana kononnya saya boleh nasihat Kerajaan berkenaan masalah yang dihadapi oleh mereka. Sebenarnya saya bukan penasihat Kerajaan. Tetapi kadang-kadang saya tegur Kerajaan. Samada diterima atau tidak, wallahua’lam.
3. Memandang bahawa KTM sedang merancang untuk mengurang kerugiannya, teringat saya akan cadangan yang boleh memberi sedikit keuntungan kepada KTM.
4. Cadangannya ialah kebenaran untuk mengguna landasan milik KTM bagi keretapi membawa barangan dan kontena antara Bangkok dengan pelabuhan-pelabuhan Malaysia. Sekarang bisnes ini dibuat dengan kapal dari Bangkok ke Singapura.
5. Tahun depan landasan berkembar letrik dari Padang Besar ke pelabuhan Penang dan Kelang akan siap.
6. Penghantaran barangan antara Bangkok dan pelabuhan Malaysia boleh menambah pendapatan KTM sebanyak RM663,000,000-00 dalam masa 2013-2030.
7. Hari ini KTM sedang menyewa landasan dan kepala keretapi kepada YTL untuk Oriental Express dari Singapura (JB) ke Bangkok. Cadangan penggunaan landasan secara sewa bukanlah perkara baru.
8. Saya diberitahu Kerajaan Thai tidak ada halangan terhadap projek ini.
9. Saya harap Kerajaan dan KTM dapat menyetujui dengan projek ini. Juga diharap tidak ada siapa lain yang ‘hijack’ projek ini.
http://chedet.cc/

1 MDB

Oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad

1. Kebebasan adalah suatu petanda kedewasaan sesebuah negara. Kita dewasa. Dan kita beri banyak kebebasan termasuk kebebasan bersuratkhabar. Malangnya kadang-kadang kebebasan disalahguna. Ada akhbar di Malaysia yang sering menyalahgunakan kebebasan mereka.
2. Kita tidak lagi boleh masukkan sesiapa dalam tahanan ISA. Oleh itu apabila sesuatu disalahguna, maka penjelasan perlu dibuat. Jika tidak kebebasan akan membawa mudarat terutama apabila yang ditegur ialah Kerajaan.
3. Saya jarang membaca akhbar The Edge. Tetapi baru-baru ini saya terbaca rencana yang bertajuk “Tabiat 1MDB membayar lebih untuk memperolehi (hutang) duit.”
4. 1MDB ialah satu dana yang ditubuh oleh Kerajaan sebagai dana kekayaan negara (sovereign wealth fund) untuk dilabur supaya negara akan dapat hasil dari kekayaannya bagi masa depan.
5. Biasanya dana seperti ini ditubuh oleh negara pengeluar minyak yang banyak yang tidak dapat habiskan pendapatan setelah mentadbir dan membangun negara.
6. Malaysia bukanlah negara pengeluar minyak yang besar. Hampir semua 650 ribu tong yang dikeluar tiap hari diguna dalam negeri. Dan Malaysia pula mengalami defisit dalam belanjawannya. Tidak ada lebihan wang untuk dana kekayaan negara.
7. Oleh itu Kerajaan terpaksa hutang untuk dana kekayaan ini.
8. The Edge dalam rencananya menyebut bahawa kos pinjaman berbilion Ringgit luar biasa tingginya.
9. Pada 1 September 2009 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) menggegarkan industri perbankan apabila bersetuju membayar faedah 5.75% keatas hutang RM 5 billion. Hutang ini dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Biasanya bon Kerajaan membayar hanya 4.0%. Petronas membayar 3.6% sahaja.
10. Pada tahun 2014 1MDB berhutang lagi sebanyak US Dolar 1.75 billion (RM 5.6 billion) dengan faedah sebanyak 5.99%.
11. Tetapi 1MDB cuma dapat US1.554 billion (RM4.973 billion) kerana sebanyak US196 million (RM 630 million) ditolak untuk komisyen, bayaran fees dan perbelanjaan. Ini bermakna kos pinjaman berjumlah 11.25% dari wang yang dipinjam.
12. Pada Mac 2013, 1MDB Global Investment Ltd telah pinjam USD3.0 billion (RM 9.6 billion) dengan faedah 4.4%. Tetapi 1MDB mendapat hanya USD2.717 billion (RM8.7 billion) kerana USD283 million (RM 906 million) atau 9.44% dipotong untuk membayar komisyen, fees dan perbelanjaan.
13. Bayaran sebanyak 11.25% dan 9.44% adalah kepada Goldman Sachs, pengurus pinjaman hutang ini.
14. Sebaliknya sebuah Syarikat Equisar International Incorporated, milik Kerajaan Sarawak membayar Goldman Sachs hanya 1.25% (USD10 million) apabila mengurus pinjaman USD800 million.
15. Jurucakap Kerajaan menjelaskan bahawa 1MDB memiliki harta bernilai lebih dari RM40 billion sedangkan hutangnya hanya RM38 billion. Oleh itu rakyat tidak perlu bimbang. Tetapi kenapa bayaran kepada Goldman Sachs begitu tinggi?
16. Sebahagian wang yang dipinjam ini diguna untuk membeli stesyen janakuasa swasta. Ini dilapur dalam akhbar. Tetapi harga belian jauh lebih tinggi dari harga pasaran. Kenapa demikian?
17. Seorang jurucakap Kerajaan menjelaskan bahawa wang 1MDB diguna untuk Bumiputra. Yang saya tahu satu biasiswa diberi kepada seorang pelajar muzik. Tidak mungkin biasiswa ini bernilai 38 billion Ringgit. Kerajaan sepatutnya memberi maklumat yang jelas kepada rakyat, terutama Bumiputra akan bantuan yang boleh didapati dari 1MDB
18. Mungkin seluruh rencana dalam The Edge adalah fitnah untuk memburuk Kerajaan dan Perdana Menteri. Tetapi jika tidak ada audit oleh pihak bebas dan penjelasan yang munasabah, saya khuatir orang ramai akan percaya cerita dongeng The Edge.
Wallahua’lam.
http://chedet.cc/

UMNO SELANGOR PERLU BERUBAH

Oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad 

1. Sesungguhnya perubahan yang diperlukan oleh UMNO Selangor ialah pembubaran dan penyusunan semula. Pemimpin-pemimpin UMNO Selangor perlu terima hakikat bahawa mereka kalah dalam PRU 12 dan 13. Mereka perlu undur.
2. Hari ini untuk mendapat calon Menteri Besar di kalangan pemimpin UMNO pun tidak ada. Ini boleh diadakan dengan ramai jika UMNO Selangor sedia menerima ahli baru. Pemimpin UMNO biasanya tidak suka menerima ahli baru yang berbakat kerana takut mereka dicabar dan hilang jawatan atau tidak dapat jadi calon pilihanraya. Oleh itu usaha mereka bukanlah memperkuatkan UMNO tetapi memperkuatkan kedudukan mereka.
3. Penerimaan ahli baru dengan ramai termasuk yang berbakat adalah perubahan yang utama yang perlu dilakukan oleh UMNO Selangor.
4. Ahli baru perlu juga ditapis oleh badan yang terdiri dari veteran UMNO termasuk dan Bahagian lain. Tapisan diperlukan kerana ada makhluk perosak yang ingin peralat UMNO untuk agenda peribadi mereka.
5. Yang kedua ialah tumpuan kepada Gen-Y. Pada PRU 14, 2.5 juta pengundi muda akan mengundi.
6. Gen-Y tidak berminat dengan UMNO. Mereka, terutama yang terpelajar di Barat sudah menerap budaya dan nilai-nilai hidup Barat. Bagi ramai dari mereka penghargaan terhadap parti dan pemerintah yang memberi peluang kepada mereka mendapat pelajaran dan berjaya dalam kehidupan mereka tidak ada.
7. Jika disebut akan jasa parti UMNO kepada mereka, mereka menolak peringatan ini sebagai mengungkit. Lagi pun mereka berpendapat parti mana pun yang menjadi Kerajaan akan membuat perkara yang sama.
8. Pandangan cetek ini disebabkan mereka tidak membuat bandingan antara Kerajaan Malaysia pimpinan UMNO dengan Kerajaan-Kerajaan negara-negara lain. Jika bandingan dibuat oleh mereka, sudah tentu mereka akan lihat bahawa negara-negara yang mencapai kemerdekaan bersama kita tidak pun dapat dimajukan, jauh sekali daripada memberi pelajaran, biasiswa dan bantuan lain supaya rakyat mereka dapat menikmati taraf hidup seperti rakyat Malaysia.
9. UMNO Selangor perlu berusaha menarik pemuda Melayu menyertai UMNO dengan mendekatkan diri dengan mereka yang bukan ahli bahkan yang menentang UMNO. Untuk ini kepimpinan UMNO harus tahu sejarah UMNO dengan mendalam. Pemimpin yang mampu menjelas kedudukan orang Melayu dahulu dan sekarang tidak ramai. Mereka juga perlu diberi kursus.
10. Ketiga, kikis imej UMNO sebagai parti rasuah. Cara hidup pemimpin UMNO perlu lebih sederhana. Mereka perlu rapat dengan rakyat dan bukan sahaja dengan ahli UMNO. Jangan sekali-kali guna kereta mewah bila ke kampung.
11. Sesungguhnya banyak lagi perubahan yang perlu dibuat oleh UMNO Selangor. Tetapi jika yang tiga ini dibuat sokongan rakyat akan lebih kuat.
http://chedet.cc/