Sunday, January 6, 2013

BIODATA ALLAHYARHAM TUN GHAFFAR BABA





ALLAHYARHAM Tun Abdul Ghafar Baba dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 18 Februari 1925.

Bapanya bernama Baba Abdullah berasal dari Sungai Udang, Melaka dan ibunya, Saodah Saleh dari Kampung Bemban, Melaka.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba membesar dalam sebuah keluarga yang susah. Bapanya melakukan pelbagai bidang pekerjaan termasuk sebagai penarik beca, kereta lembu dan penoreh getah.

Allahyarham Abdul Ghafar adalah anak yang keenam daripada sembilan orang adik-beradik. Beliau menjadi anak yatim piatu ketika berumur lapan tahun.



Sejak itu, Allahyarham Tun Abdul Ghafar tinggal bersama bapa saudaranya.

Beliau terpaksa berdikari bagi menampung perbelanjaan hariannya dengan menjadi ‘Caddy’, pemungut bola golf dan penjual kayu api.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ketika berumur enam tahun.

Ketika berumur 13 tahun, beliau menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Tangga Batu, Melaka dan seterusnya di Sultan Idris Trainning Collage (SITC) di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1946.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar berkahwin dengan Toh Puan Asmah Alang dikurniakan 10 orang cahaya mata kemudian beliau bertemu jodoh pula dengan Toh Puan Haryati A. Rahim dengan dikurniakan seorang cahaya mata.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar mula bergiat aktif dalam politik pada tahun 1945 melalui Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada bulan Oktober 1945.

Beliau cukup yakin dengan peranan PKMM bagi membela nasib orang-orang Melayu.

Beliau sering menghadiri perhimpunan dan mendengar ceramah dari tokoh-tokoh PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, Ishak Muhamad dan lain-lain. Tokoh-tokoh ini sering melawat ke negeri Melaka.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar mula melibatkan diri di dalam UMNO pada tahun 1951 sebagai anggota biasa. Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha UMNO Melaka pada tahun 1955.

Tugasnya sebagai seorang guru tidak menghalang beliau untuk menyumbangkan tenaga bagi menghidupkan UMNO Melaka yang telah lemah akibat penarikan diri Jasmi Abdul Hamid dan pengasas-pengasas UMNO yang lain. Allahyarham Tun Abdul Ghafar bersama-sama ahli UMNO seperti Hasnol A. Hadi, A. Wahab Hassan, Borhan Md. Yaman dan Abu Samah A. Aziz telah mengadakan ceramah-ceramah penerangan untuk menarik minat orang ramai terhadap UMNO.

Dalam pilihanraya 1955, Allahyarham Tun Abdul Ghafar selaku Ketua Bahagian UMNO Melaka telah bertanding atas tiket ‘Perikatan’ bagi kawasan Melaka Luar dan berjaya mencapai kemenangan dengan majoriti sebanyak 23,969 undi mengalahkan Jaafar Mohd Tan dari Parti Negara.

Beliau terus menjadi wakil rakyat dengan memenangi beberapa pilihanraya berikutnya iaitu pada tahun 1959, 1964 dan 1969.

Pada tahun 1962, beliau dipilih menjadi Naib Presiden UMNO Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1967, beliau telah menjadi anggota Kabinet dan pada bulan Mac 1968 dilantik sebagai Senator merangkap Menteri tanpa portfolio dan Pengerusi FAMA.

Walau bagaimanapun, beliau meletakkan jawatan pada bulan Mac 1969 sebelum bertanding kerusi Parlimen kawasan Melaka Luar.

Pada tahun 1976, beliau keluar dari Kabinet apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri.

Namun, beliau aktif semula dan bertanding bagi kerusi Parlimen Jasin pada tahun 1978 dan berjaya mengekalkan kerusi tersebut selama empat penggal hingga tahun 1995. Pada bulan April 1987, beliau telah berjaya mengalahkan Datuk Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Penyertaan Allahyarham Tun Abdul Ghafar dalam politik pada awalnya kerana hendak memerdekakan tanahair dari terus dicengkam penjajah. Keluarganya cukup bimbang dengan kegiatan beliau dalam parti politik kerana takut ditangkap, selepas PKMM diharamkan oleh British dalam tahun 1948, Tun Abdul Ghafar bergiat aktif di dalam Kesatuan Guru-guru Melayu Melaka (KGMM) antara tahun 1949 hingga 1951.

Badan ini, walaupun sebuah persatuan guru-guru, tetapi ia begitu aktif membela nasib orang-orang Melayu, dalam soal politik, ekonomi dan sosial.
 
 
   
 
 
  
 
Allahyarham Tun Abdul Ghafar merupakan Ketua Menteri Melaka yang kedua. Beliau dilantik pada 1 Jun 1959 oleh Gabenor Melaka ketika itu, Tun Leong Yew Koh.

Ketika dilantik, beliau berumur 34 tahun dan merupakan Ketua Menteri yang paling muda dan yang pertama dipilih oleh rakyat. Beliau berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka sehingga 5 Oktober 1967.

Di bawah pimpinan Allahyarham Tun Abdul Ghafar, Negeri Melaka telah membangun dengan pesat dalam bidang pertanian dan infrastruktur. Berbagai projek kemajuan, ekonomi dan sosial termasuk bidang pendidikan, pertanian dan perikatan telah diperkenalkan.

Antara projek-projek yang telah dilaksanakan adalah projek menternak lembu dan kambing, projek perpustakaan bergerak, projek menambah dan memperbaiki kemudahan infrastruktur dan projek pembukaan tanah untuk dijadikan kawasan pertanian berkelompok.

Bagi mengatasi masalah kemiskinan, Allahyarham Tun Abdul Ghafar telah mengambil pendekatan yang praktikal.

Antaranya ialah memberi bantuan basikal kepada anak-anak miskin bagi membolehkan mereka ke sekolah, bantuan anak ayam dan lembu untuk para petani, bantuan bot nelayan, pembukaan tanah pertanian bagi peneroka-peneroka baru dan sebagainya.

Usaha-usaha ini sememangnya banyak memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan sosial Negeri Melaka.

Pada 1 September 1967, Allahyarham Tun Abdul Ghafar dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia.

Pelantikan beliau sebagai Pengerusi MARA adalah satu kejayaan dirinya kerana inilah kali pertama seorang yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dilantik memegang jawatan yang penting.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar memegang jawatan sebagai Pengerusi MARA selama empat tahun iaitu antara 1 September 1967 hingga 1 September 1971.

Beliau telah memberi sumbangan memajukan orang Melayu dalam bidang pelajaran dan ekonomi menerusi usahanya menubuhkan Institut Teknologi Mara (ITM) memajukan Syarikat Kenderaan MARA melalui perkhidmatan ekspress di antara bandar-bandar utama memperkenalkan Skim Amanah Saham MARA, mewujudkan Tabung Biasiswa Pinjaman MARA untuk memudahkan anak-anak Bumiputera melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi serta menggalakkan perkembangan perusahaan Bumiputera melalui latihan dan bantuan modal.

Ternyata bahawa sebahagian besar daripada projek-projek yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Ghafar telah terus berkembang dan menghasilkan sesuatu yang boleh dibangakan dalam usaha memajukan ekonomi dan pelajaran orang-orang Melayu.

Berdasarkan rekod cemerlang Allahyarham Tun Abdul Ghafar dalam memaju dan membangunkan taraf hidup penduduk di negeri Melaka, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar (PNLB).

Pelantikan itu dibuat selepas pilihanraya umum tahun 1969 manakala pada tahun 1974, beliau dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.

Ekoran daripada perubahan pucuk pimpinan di dalam UMNO dan juga Kerajaan Pusat setelah kematian Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976, Abdul Ghafar memilih untuk mengundurkan diri dari urusan pentadbiran negara.

Berdasarkan ketokohan dan sumbangan Tun Abdul Ghafar terhadap pembangunan ekonomi, politik dan sosial negara pada 5 Mei 1986, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Datuk Musa Hitam.

Beliau meletakkan jawatan sebagai ‘Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993, tetaspi terus menjadi Ahli Parlimen sehingga Mac 2004.
 
 
 
 
Bagi mengenang jasa yang telah disumbangkan oleh Allahyarham Tun Abdul Ghafar terhadap bangsa,dan negara, beliau telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran dan gelaran.

Di antaranya Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada 27 Julai 1985, anugerah ‘Bapa Perpaduan’ oleh Pemuda UMNO Kota Melaka pada tahun 1987, anugerah ‘Tun Abdul Razak Foundation National Award’ pada 19 Mac 1998, ‘Malaysian Institute of Manangement Honorary Fellowship Award’ pada tahun 1988, anugerah ‘Bapa Yang Disayang’ oleh Persatuan Telegu Malaysia pada tahun 1990 dan pingat kebesaran Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M.) yang membawa gelaran ‘Tun’ pada tahun 1995.
SUNGGUHPUN pepatah lama ada mengatakan ‘patah tumbuh hilang berganti’, namun pemergian Allahyarham Tun Abd Ghafar Baba awal pagi semalam bagaikan kehilangan sebutir permata yang tidak mungkin akan dapat dicari ganti.

Dengan pemergian allahyarham, negara bukan saja kehilangan seorang tokoh yang pernah menjawat jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan Malaysia, bahkan kehilangan seorang anak bangsa yang telah turut memainkan peranan dalam membawa tanahair keluar dari belenggu penjajahan.

Rata-rata ramai yang beranggapan bahawa allahyarham adalah merupakan seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat, yang sering meletakkan kepentingan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar, di hadapan kepentingan diri sendiri.

Sebagai seorang yang pernah merasai keperitan dan kesusahan hidup, allahyarham seakan mampu menyelami apa yang dilalui masyarakat luar bandar dan ini jelas terbukti dari sifat keprihatinan beliau terhadap mereka.

Sifat allahyarham yang ‘low profile’ dan tidak mementingkan soal protokol juga membuatkan rakyat merasa mudah bergaul dengan beliau. Maka tidak hairanlah sekiranya allahyarham sering dilabelkan sebagai seorang pemimpin yang benar-benar memahami kehendak dan perasaan rakyat.

Allahyarham turut dilihat sebagai ‘faktor penstabil’ (stabilising factor) kepada parti komponen Barisan Nasional berdasarkan sifat rasional dan pemikiran matang allahyarham, terutama apabila berhadapan dengan isu-isu sensitif berkaitan agama, kaum, budaya dan bahasa.

Maka adalah bertepatan sekali apabila kerajaan memutuskan supaya allahyarham diberi pengebumian negara dan disemadikan di Makam Pahlawan sebagai menghargai khidmat dan jasa allahyarham kepada negara dan rakyat.

Bagi rakyat Melaka, kehilangan allahyarham lebih dirasai memandangkan banyak perubahan yang telah dibawa ke sebuah negeri yang pernah suatu ketika dahulu dianggap sebagai sebuah negeri yang mundur.

Sepanjang tempoh menjadi Ketua Menteri kedua bermula 1 Jun 1959 sehingga 5 Oktober 1967, banyak usaha dan tindakan allahyarham yang telah menjadi tonggak kepada pembangunan dan kemajuan negeri ini, khususnya dalam bidang pertanian dan infrastruktur.

Pemergian buat selama-lamanya Allahyarham Tun Abd Ghafar Baba bukan saja ditangisi ahli keluarganya, malahan jutaan rakyat Malaysia turut merasakan satu kehilangan yang tidak akan ada pengganti.

Semoga roh allahyarham akan dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solehin.



source :  
http://web.utm.my 



Other Biography go to :

http://chedinsphere.blogspot.com/2011/01/tun-ghafar-baba.html

No comments:

Post a Comment